ad
AGENDA

Kiosk Telekesihatan Lembah Pantai bantu B40 buat saringan percuma

27 Feb 2025, 9:37 AM
Kiosk Telekesihatan Lembah Pantai bantu B40 buat saringan percuma

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil hari ini melancarkan Kiosk Telekesihatan yang memanfaatkan orang ramai termasuk golongan B40 untuk melakukan saringan kesihatan.

Kios itu yang ditempatkan di Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai akan memberikan perkhidmatan percuma kepada rakyat untuk memeriksa tahap kesihatan antaranya tekanan darah, paras gula, suhu badan serta Indeks Jisim Badan (BMI).

“Saya merasakan ia satu kemudahan yang boleh digunakan masyarakat sekitar terutama golongan B40 ketika mereka datang ke pejabat (Ahli Parlimen Lembah Pantai) untuk memohon bantuan dan sebagainya.

“Sekiranya mereka merasakan ada keperluan untuk berhubung dengan doktor, setidak-tidaknya beberapa maklumat asas telah dapat dikumpulkan, dan ia memudahkan doktor untuk membuat pemeriksaan lanjut,” katanya.

Fahmi berkata demikian selepas melancarkan kios berkenaan bersama Big Pharmacy di Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai di sini hari ini.

Fahmi berkata beliau juga mencadangkan kerjasama antara Big Pharmacy dengan beberapa pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi meneroka potensi penempatan kios kesihatan itu di luar bandar.

“ … hal ini kerana kita lihat kios seperti ini yang mempunyai pelbagai fungsi, sangat mudah untuk kita bawa ke lokasi terutama di kawasan desa dan luar bandar.

“Mungkin kita boleh bekerjasama dengan pusat-pusat sebaran maklumat ataupun Perkhidmatan Pintar Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di bawah MCMC,” katanya.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.