SHAH ALAM, 27 FEB: Buat julung kalinya Festival Ramadan Selangor 2025 (Festira2025) berkolaborasi bersama agensi korporat bagi menyedia pengisian menarik sepanjang penganjurannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Dato’ Mahmud Abbas berkata Festira2025 menjalin kerjasama bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Bateriku.Com.
“Jalinan kerjasama strategik ini bertujuan menjadikan festival ikonik ini lebih dekat dengan semua golongan masyarakat, dimana PPAS akan menyedia aktiviti pengisian bercirikan pendidikan.
“Manakala LZA akan mengendali program elemen pendidikan dan Bateriku akan mengadakan aktiviti kesedaran keselamatan dan pemeriksaan kereta percuma sebelum balik kampung,” katanya.
[caption id="attachment_689211" align="alignleft" width="456"] Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Dato' Mahmud Abbas berucap ketika Festival Ramadan Selangor (FESTIRA) di Pusat Membeli-belah SACC, Shah Alam pada 27 Februari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau berkata demikian pada pelancaran Festira2025 edisi ke-11 di kompleks beli-belah SACC di sini, hari ini yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Dalam pada itu, Mahmud berkata Festira2025 yang menampilkan konsep Cahaya Neon Raya turut dianjur di lokasi baharu iaitu di Galeria SA Sentral, selain PKNS Shah Alam, PKNS Bangi, pusat beli belah SACC dan Plaza Alam Sentral.
Menurutnya, pengunjung berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah sebuah motosikal elektrik dengan hanya berbelanja minima RM300 dalam satu resit.
“Kami juga mendapat sokongan Tourism Selangor bagi menyemarakkan lagi Tahun Melawat Selangor 2025, sekali gus membantu menarik kehadiran lebih ramai pengunjung ke sini,” katanya.
Festira2025 dengan tema Tradisi Ramadan Meriah Lebaran menampilkan 1,500 usahawan berlangsung selama 48 hari bermula 11 Februari hingga 30 Mac depan.