ad
AGENSI

Perkukuh tenaga kerja mahir kunci pembangunan mampan

26 Feb 2025, 3:37 PM
Perkukuh tenaga kerja mahir kunci pembangunan mampan

Oleh Yasmin Ramlan

SHAH ALAM, 26 FEB: Memperkukuh pekerja berkemahiran penting untuk tenaga kerja mampan, sedangkan mengambil mudah soal pembangunan kemahiran boleh membawa kerugian jangka panjang.

Pengurus Besar Kanan Perancangan Strategik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkata banyak organisasi di negeri ini berdepan isu berkenaan selain jurang kemahiran dalam inovasi dan digitalisasi, ketidaksesuaian kemahiran dan tiada pelan penggantian strategik.

"(Forum hari ini) akan menyelidiki topik utama, terutamanya pekerja berkemahiran, dengan mengkaji pelbagai industri dan strategi untuk mengukuhkan modal insan untuk tenaga kerja.

"Pemikiran strategik dalam pelan penggantian sangat penting, dan ahli panel hari ini akan memberikan pandangan dan panduan yang berharga mengenai perkara ini," kata Mahfizul Rusydin Abdul Rashid.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian forum "Leadership in Action: Human Capital as the Catalyst for Transformational Growth" di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, hari ini.

Mahfizul berkata modal insan kekal sebagai asas utama transformasi, terutamanya dalam persekitaran yang pesat berubah.

"Salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh modal insan di Selangor adalah kekurangan bakat dalam inovasi dan pendigitalan.

"Terdapat jurang yang ketara, dan jika ia terus melebar, kita berisiko ketinggalan dalam transformasi digital," katanya.

Mahfizul juga berkata terdapat ketidaksesuaian kemahiran yang ketara dalam pasaran pekerjaan, mungkin disebabkan institusi pendidikan tidak sejajar dengan tuntutan industri.

Akibatnya, beliau berkata, graduan memasuki alam pekerjaan tanpa persediaan, memaksa majikan melabur masa dan sumber untuk melatih mereka.

"Perancangan penggantian adalah cabaran utama yang dihadapi oleh kebanyakan generasi. Jika kita tidak menangani isu ini dengan betul, ia boleh menjadi kritikal.

"Tanpa pelan strategik, kita akan bergelut dengan pembangunan kepimpinan dan keupayaan untuk memupuk pemimpin yang tangkas dan cemerlang," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.