SHAH ALAM, 26 FEB: Kerajaan Selangor menambah baik Skim Smart Sewa dengan memberi tumpuan dari pelaksanaan konsep sewaan ke pemilikan rumah antara 2019 hingga 2020.
Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri meningkatkan pembelian dari 400 unit hingga 1,700 unit rumah mampu milik untuk disewakan kepada rakyat sejak 2018.
“Pada ketika pentadbiran Hulu Kelang (Dato’ Sri Azmin Ali) melalui konsep Rent To Own, kita mempunyai kira-kira 400 unit sahaja.
“Formatnya lebih kurang sama, namun negeri ubah ke Skim Smart Sewa untuk penyewa mendapatkan kembali 30 peratus daripada sewaan sebagai wang pendahuluan untuk pembelian rumah.
“Negeri telah memperuntukkan lebih RM300 juta untuk pembelian rumah mampu milik di Serendah, Klang dan Kajang dengan meningkatkan jumlah unit Skim Smart Sewa ke 1,700 setakat ini,” kata Dato’ Sri Amirudin Shari.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Menurut Amirudin lagi, Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) turut melakukan transformasi dengan memperbaiki dan menaik taraf rumah Skim Smart Sewa untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Melalui lebihan hasil sewaan yang dikutip dikembalikan untuk membaik pulih rumah-rumah terbabit (Skim Smart Sewa), lif dan kemudahan lain seperti gelanggang futsal.
“Negeri juga kerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) mengembangkan kawasan perumahan ini menjadi perpustakaan untuk mengubah kualiti kehidupan masyarakat,” ujarnya.