SHAH ALAM, 26 FEB: Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan meneroka industri padi bagi memastikan pengeluaran tanaman itu lebih produktif.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari memaklumkan penerokaan di beberapa tanah itu akan menggunakan kaedah pertanian yang dilaksana di Sekinchan.
"EXCO Pertanian Dato' Ir Izham Hashim ada menyebut banyak suntikan dibuat tetapi masih alami masalah penyakit dan hasil... oleh itu, negeri melalui PKPS akan meneroka kembali perkara yang ingin dibangunkan sebelum ini iaitu industri padi.
"PKPS kenal pasti ribuan ekar tanah untuk diusahakan dan formula padi Sekinchan yang sering disebut akan diterapkan. Ini sekali gus dapat menjaga kebajikan petani-petani," katanya.
Beliau berkata pada sesi penggulungan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen memaklumkan kerajaan bercadang mengaplikasi kaedah pertanian dilaksanakan di Sekinchan yang terbukti meningkatkan produktiviti pengeluaran padi di beberapa negeri seperti Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata perkara itu berikutan produktiviti pengeluaran padi di empat negeri tersebut yang sangat rendah berbanding di Sekinchan.