ad
EXCO

LZS laksana program pembangunan bantu asnaf keluar dari kemiskinan

26 Feb 2025, 6:00 AM
LZS laksana program pembangunan bantu asnaf keluar dari kemiskinan

SHAH ALAM, 26 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) melaksanakan program pembangunan ‘5 peratus Club’ untuk membantu golongan asnaf meningkatkan pendapatan sekali gus keluar dari kategori kemiskinan.

EXCO Agama Dr Fahmi Ngah berkata inisiatif memberi tumpuan melahirkan asnaf yang produktif melalui kerjasama agensi kerajaan dan swasta membantu mereka mendapatkan pekerjaan.

“Daripada jumlah keseluruhan asnaf yang berdaftar dengan LZS, lima peratus dikenal pasti sebagai asnaf produktif berdasarkan kriteria dan potensi mereka untuk dibangunkan.

“Program pembangunan juga merangkumi kemahiran, persediaan asnaf memasuki alam pekerjaan dan pemberian insentif permulaan kerjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wakil rakyat Sabak Sallehen Mukhyi yang ingin mengetahui strategi LZS membantu asnaf keluar dari kemiskinan dalam Sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Pada masa sama, Fahmi Ngah memberitahu program pembangunan juga melibatkan keusahawanan dengan kerjasama Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) buat mereka yang ingin mengembangkan perniagaan.

“LZS turut menjalankan kerjasama bersama rakan sinergi terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi dan swasta bagi memanfaatkan kepakaran serta capaian mereka dalam usaha membangunkan asnaf.

“Kemajuan dan peningkatan pendapatan asnaf hasil daripada penyertaan program pembangunan terus dipantau hingga melepasi had fidyah sejumlah RM1,215 untuk keluar dari kemiskinan,” jelasnya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.