SHAH ALAM, 26 FEB: Mainan kanak-kanak berbentuk cat akan disenaraikan antara alat permainan tidak selamat, kata timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup.
Fuziah Salleh berkata ia berisiko menyebabkan kanak-kanak terdedah toksik selain turut menyenaraikan permainan yang memiliki bahagian-bahagian kecil kerana boleh menyebabkan tercekik.
“Kerajaan melaksanakan pembangunan standard untuk barangan bayi bersama 15 agensi termasuk SIRIM.
“Untuk mainan bayi, standard berkenaan sudah disiapkan. Antara standardnya, mainan yang ada cat. Kadang-kadang cat itu mengandungi toksik dan bila gigit, boleh terdedah toksik.
“Juga yang boleh tercekik. Bila main ada bahagian kecil-kecil. Ini juga termasuk dalam pembangunan standard dan sudah disiapkan,” katanya di Parlimen pagi ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin berhubung pembangunan standard mainan kanak-kanak berikutan terdapat penjualan mainan dilihat tidak sesuai untuk peringkat usia kanak-kanak.
Minggu lalu, kanak-kanak berusia 10 tahun yang dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata di Pulau Pinang meninggal dunia.
Selain itu, Fuziah berkata pihaknya akan memulakan proses untuk membangunkan lagi standard keselamatan produk bayi termasuk penggunaan lampin pakai buang.
Jelasnya kementerian sedar pembangunan itu penting mengambil kira kebimbangan khususnya dalam kalangan ibu bapa yang memiliki anak kecil, antaranya berkaitan isu penjualan produk tiruan dan tamat tempoh.