SHAH ALAM, 25 FEB: Sebanyak RM579 juta kutipan hasil di Selangor dilaporkan setakat Februari tahun ini, maklum Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari percaya sasaran RM3 bilion hasil tahun ini mampu dicapai sekiranya semua penjawat awam termasuk agensi berkaitan bekerjasama.
“Angka (hasil) ini sudah pasti menggembirakan tetapi bagaimana kita ingin menuntut konsistensi agar dapat pertambahan yang lebih baik?.
“Justeru, saya seru penjawat awam dan agensi berkaitan untuk sentiasa dinamik, jitu dan kerjasama antara pasukan. Banyak perkara boleh diperbetul sekiranya ada kesefahaman.
[caption id="attachment_688936" align="aligncenter" width="911"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Jasamu Dikenang (AJD) di Double Tree Hilton, ICity, Shah Alam pada 25 Februari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Saya yakin kita mampu meneruskan dan buat yang terbaik dalam berdepan dengan pelbagai cabaran sekiranya ada tiga ciri tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Anugerah Jasamu Dikenang (AJD) Ketua Jabatan 2025 di Double Tree By Hilton, iCity Shah Alam di sini hari ini.
Terdahulu, Amirudin menyampaikan anugerah penghargaan kepada 13 ketua jabatan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.
AJD diraikan sebagai tanda penghargaan dan penghormatan terakhir kepada mereka dalam menunjukkan kepimpinan cemerlang sepanjang bertugas.
Selain itu, ia juga berperanan sebagai dorongan kepada penjawat awam lain untuk terus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan rakyat Selangor.
[caption id="attachment_688937" align="aligncenter" width="1184"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyampaikan cenderhati kepada mantan Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Ir Cheremi Tarman (kanan) diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin (kiri) pada Majlis Anugerah Jasamu Dikenang (AJD) di Double Tree Hilton, ICity, Shah Alam pada 25 Februari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]