ad
AGENDA

KPN: 15 rakyat Malaysia dipaksa jadi juruteknik komputer, terlibat penipuan cinta

25 Feb 2025, 11:00 AM
KPN: 15 rakyat Malaysia dipaksa jadi juruteknik komputer, terlibat penipuan cinta

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Siasatan polis mendapati 15 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran kerja di Myanmar dipaksa bekerja sebagai scammer bagi pelaburan mata wang kripto, bitcoin serta penipuan cinta atau love scam.

Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain berkata semua individu terdiri daripada 12 lelaki serta tiga wanita berusia antara 21 hingga 45 tahun itu turut dipaksa menjadi juruteknik komputer dan telefon bimbit bagi melancarkan urusan aktiviti penipuan terbabit.

Beliau berkata mangsa berada di Myanmar sejak 2023 dan 2024 selepas terperdaya dengan tawaran kerja di laman media sosial.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670). Keterangan 15 individu itu selesai dirakam pihak polis dan mereka kini diserahkan kepada keluarga masing-masing.

“Setakat ini, mereka memberikan kerjasama sepanjang proses rakaman percakapan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Razarudin berkata hasil pemeriksaan pegawai perubatan juga mendapati tiada kesan kecederaan yang berlaku kepada mangsa.

“Hasil semakan Jabatan Imigresen mendapati kesemua pergerakan keluar mangsa adalah sah dengan melalui jalan diwartakan,” katanya.

Semalam 15 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar dibawa pulang dan tiba di tanah air hari ini.

Kesemua mangsa selamat tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan diserahkan kepada pihak polis bagi dirakam keterangan untuk membantu proses siasatan.

Sebelum ini, Kementerian Luar dilaporkan berkata mereka adalah antara 261 mangsa yang diselamatkan daripada sindiket penipuan itu dan diserahkan kepada pihak berkuasa Thailand pada 12 Februari lalu.

Seramai 261 mangsa diselamatkan pihak berkuasa Myanmar di bandar sempadan KK Park dan Shwe Kokko sebelum dipindahkan ke Thailand untuk proses penghantaran pulang ke negara masing-masing.

Proses dokumentasi kemudian dilakukan pihak berkuasa Thailand sebelum proses penghantaran pulang mangsa.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.