SHAH ALAM, 25 FEB: Selangor memperuntuk RM6 juta untuk meneruskan pemberian tunai RM1,000 kepada jemaah haji pada tahun ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata nilai Insentif Haji Muassasah dinaikkan berbanding RM500 sebelum ini untuk membantu jemaah membuat persediaan ke tanah suci.
"Asalnya kita beri tunai RM500 dan beg berisi kelengkapan asas haji. Namun, selepas meneliti beberapa perkara, kita dapati jemaah lebih gemar mendapatkan barangan sendiri.
"Oleh itu, Kerajaan Negeri menaikkan pemberian tunai kepada RM1,000 tahun ini. Alhamdulillah, inisiatif ini sangat dihargai rakyat Selangor yang saya jumpa ketika menunaikan haji lepas," katanya.
Pada September tahun lepas, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memaklumkan lebih 14,000 jemaah di Selangor menerima manfaat Insentif Haji Muassasah sejak 2018 melibatkan peruntukan RM15 juta.
Insentif RM1,000 yang diberikan pada tahun lepas telah memanfaatkan seramai 6,000 jemaah. Berbanding 2022 dan 2023, hanya 3,000 jemaah menerima sumbangan RM500 seorang termasuk kit haji daripada Kerajaan Negeri.