SHAH ALAM, 25 FEB: EXCO kerajaan tempatan mengesa pihak berkuasa tempatan (PBT) menyelenggara pokok secara berkala dengan lebih kerap.
Dato’ Ng Suee Lim berkata kerja berkenaan perlu dilakukan bagi mengelak kejadian pokok tumbang yang mengundang musibah kepada orang ramai.
[caption id="attachment_688845" align="aligncenter" width="815"] EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berucap ketika sesi soal jawab lisan sempena mesyuarat pertama (pembukaan) persidangan penggal ketiga Dewan Negeri Selangor 2025 di Dewan Negeri Selangor pada 25 Februari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Kita ada banyak pokok sebab matlamat kita mahu lestarikan kehijauan. Bagaimanapun ia turut memberi kesan dan risiko kalau berlakunya hujan dan ribut kuat. Kita tidak dapat elak musibah.
“Jadi kita minta Skuad Pantas untuk selenggara pokok manakala kontraktor khas dilantik segera bagi melakukan kerja mencantas,” katanya ditemui hari ini.
Suee Lim memberitahu pihaknya turut mengarahkan Majlid Bandaraya Diraja Klang menambah peruntukan kepada lebih RM10 juta tahun ini bagi kerja selenggara pokok selain penyelesaian isu banjir.
Beliau menjelaskan arahan dibuat susulan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang mahu tahap kebersihan bandar raya Klang dipertingkat.
“Tahun ini lebih RM10 juta berbanding RM5 juta tahun lalu. Sekiranya memerlukan, mereka perlu keluarkan peruntukan tambahan. Kerja pemangkasan pokok juga perlu dibuat serta merta,” katanya.
[caption id="attachment_688761" align="aligncenter" width="768"] Keadaan pokok tumbang menghempap sebuah kereta di Kampung Bukit Kuda, Klang pada 24 Februari 2025. Foto BERNAMA[/caption]
Semalam seorang lelaki berusia 46 tahun maut manakala anak perempuannya terselamat selepas kenderaan dinaiki dihempap sebatang pokok tumbang di Kampung Bukit Kuda, di Klang
Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berusia 23 tahun yang memandu kereta Perodua Myvi turut berdepan detik cemas apabila kenderaannya turut dihempap batang pokok dalam kejadian di Bulatan Seksyen 15 dekat sini.