SHAH ALAM, 25 FEB: Seramai 2,465 daripada 2,530 individu yang kehilangan pekerjaan berjaya ditempatkan semula dalam pekerjaan baharu setakat 14 Februari lalu, maklum EXCO sumber manusia.
V Papparaidu menjelaskan berdasarkan laporan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga 14 Februari lalu, sebanyak 49,526 kekosongan jawatan direkodkan di Selangor dengan 5,437 pencari kerja.
“Walaupun 2,530 individu mengalami kehilangan pekerjaan, usaha penempatan pekerjaan semula menunjukkan kejayaan signifikan dengan seramai 2,465 individu berjaya ditempatkan semula dalam pekerjaan baharu.
“Ini mencerminkan adanya peluang yang besar dalam pasaran kerja di Selangor. Selain itu, keberkesanan inisiatif penempatan semula dalam membantu individu yang kehilangan pekerjaan untuk kembali bekerja, walaupun terdapat cabaran dalam jumlah kehilangan pekerjaan yang agak tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Selain itu, katanya Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memastikan bahawa tanah yang didiami atau digunakan oleh komuniti Orang Asli diiktiraf sebagai hak mereka melalui pewartaan Kampung Orang Asli.
Menurutnya, Kerajaan Negeri sentiasa memberi kerjasama dalam menyelaras isu pewartaan kampung Orang Asli yang juga dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asli yang bermesyuarat dua kali setahun.
“Selangor sentiasa memberi bantuan daripada aspek peruntukan untuk kerja ukur tanah bagi tujuan pewartaan tanah adat masyarakat Orang Asli jika diperlukan atau peruntukan dari Jakoa tidak mencukupi.
“Pewartaan tanah adat Orang Asli ini diwartakan selaras dengan Seksyen 6 atau 7 Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang memberi perlindungan mutlak kepada masyarakat Orang Asli.
“Walaupun kita mengalami beberapa kekangan dalam pewartaan kampung Orang Asli, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha menyelesaikan setiap isu yang berbangkit. Rundingan berterusan dengan agensi berkaitan akan dilaksanakan secara berterusan,” katanya.