SHAH ALAM, 25 FEB: Selangor akan mengeluarkan garis panduan untuk mempermudah pendaftaran taska di negeri ini pada Julai depan.
EXCO kebajikan berkata penyeragaman garis panduan dibuat dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bertujuan meningkatkan jumlah pendaftaran taska di negeri ini.
Maklum Anfaal Saari, pentadbiran negeri turut menyediakan Geran Pusat Jagaan (GPJ) sehingga RM5,000 bagai membantu pengusaha menampung kos pendaftaran terutama berkaitan pematuhan melibatkan agensi teknikal.
"Berdasarkan angka terkini, sebanyak 959 taska di negeri ini berdaftar setakat Januari lalu manakala 164 lagi dikesan tidak berdaftar.
“Kita juga mengaktifan pusat sehenti di peringkat negeri dan daerah bagi memudah cara proses pendaftaran sehingga pengusaha memenuhi syarat yang ditetapkan oleh agensi teknikal dengan 201 taska berjaya dibantu sehingga lulus pendaftaran sehingga Disember 2024,” katanya.
Beliau menjawab soalan wakil rakyat Kuala Kubu Bharu Pang Sock Tao mengenai status terkini pengusaha taska berdaftar dan tidak berdaftar di Selangor di Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Menurutnya, usaha lain termasuk memberikan notis peringatan serta tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan Akta 308 iaitu Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 kepada pengusaha.
“Turut dilaksanakan adalah penubuhan Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Perkhidmatan Penjagaan Negeri Selangor (JKPPP) dianggotai oleh pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, PlanMalaysia Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, bomba Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPEN).
“Jawatankuasa ini berfungsi menilai peraturan dan standard sedia ada serta menambah baik dengan menyediakan garis panduan yang standard berkaitan perkhidmatan penjagaan,” katanya.
Menjawab soalan wakil rakyat Meru mengenai kes keganasan rumahtangga terhadap wanita dan kanak-kanak di Selangor, beliau berkata berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang 2024 sebanyak 1,300 kes dicatatkan melibatkan 871 kes keganasan terhadap wanita, lelaki (286 kes) manakala kanak-kanak sejumlah 143 kes.
“Tahun ini, bermula April hingga Disember, Kerajaan Negeri terus memperluas program kesedaran awam tentang keganasan rumah tangga menerusi pelaksanaan Kempen Menentang Keganasan Berasaskan Gender.
“Kempen ini akan dilaksanakan dalam format siri jelajah ke daerah di Selangor dengan kerjasama strategik semua pemegang taruh termasuk pihak berkuasa tempatan, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan pemimpin komuniti,” katanya.