ad
AGENDA

5,091 kes penipuan dalam talian di Selangor sepanjang tahun lalu

25 Feb 2025, 4:14 AM
5,091 kes penipuan dalam talian di Selangor sepanjang tahun lalu

SHAH ALAM, 25 FEB: Sebanyak 5,091 kes penipuan dalam talian melibatkan kerugian berjumlah RM386.4 juta direkodkan di Selangor sepanjang tahun lalu, maklum Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata walaupun jumlah yang direkodkan berkurangan 169 kes berbanding 5,260 kes pada 2023, jumlah kerugian adalah lebih tinggi pada tahun lalu.

“Jumlah kerugian yang dicatatkan pada 2023 adalah RM292,093,647.17. Pada tahun 2024 walaupun kes berkurang, tetapi kerugian lebih tinggi dicatatkan iaitu sebanyak RM386,426,494.32. Ada perbezaan RM94 juta diantara kedua-dua tahun tersebut,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri mengenai jumlah kerugian dan kes jenayah melibatkan penipuan dalam talian di Selangor di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Jelas Amirudin berkata kebanyakan mangsa kes penipuan membabitkan individu yang telah bersara dan tidak berkerja sepenuh masa.

“Ini kerana mereka yang bekerja sepenuh masa sibuk dengan aktiviti harian dan scammer ini (kebanyakan bekerja pada) waktu pejabat, bukan waktu malam atau rehat.

“Justeru, saya harap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat melaksanakan tanggungjawab lebih keras dan jitu, selain kita juga dapat sebarkan kesedaran awal berkenaan penipuan dalam talian yang menjadi ancaman jenayah komersial besar pada waktu ini,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.