ad
BERITA UTAMA

EXCO: 217 sekolah tahfiz lalui proses pemutihan, pastikan selamat beroperasi

24 Feb 2025, 1:15 PM
EXCO: 217 sekolah tahfiz lalui proses pemutihan, pastikan selamat beroperasi
EXCO: 217 sekolah tahfiz lalui proses pemutihan, pastikan selamat beroperasi

SHAH ALAM, 24 FEB: Sebanyak 217 sekolah tahfiz di Selangor sedang melalui proses pemutihan menerusi program pemutihan tahfiz Kerajaan Negeri, kata EXCO Agama.

Dr Fahmi Ngah berkata daripada jumlah itu 49 sekolah tahfiz sudah memperoleh kebenaran merancang (KM) penuh dan bakinya sudah selesai proses dokumentasi bagi memenuhi syarat KM.

"Sekarang ini, kita berbaki 389 yang sedang diusahakan oleh Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah dan tanah.

"Kerajaan Negeri berada di landasan betul untuk kita menzahirkan hasrat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor agar tahfiz di Selangor beroperasi secara selamat untuk anak-anak dan pengusaha tahfiz," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan bagi Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

[caption id="attachment_687938" align="aligncenter" width="1132"] EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Dr Fahmi Ngah pada sesi soal jawab mesyuarat pertama (pembukaan) persidangan penggal ketiga Dewan Negeri Selangor 2025 di Dewan Negeri Selangor pada 19 Februari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Dalam pada itu, Dr Fahmi menafikan kewujudan campur tangan serta salah guna kuasa oleh ahli majlis PBT yang menyebabkan pengurusan tahfiz sukar untuk berdaftar secara sah.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia itu turut memohon semua pihak supaya melaporkan terus kepada pihak berkuasa jika perkara berkenaan berlaku.

"Menerusi semakan saya tidak ada. Dalam proses pemutihan ini, tidak langsung melibatkan kelulusan ahli majlis. Namun, saya mohon jika ada boleh laporkan terus supaya tindakan susulan boleh diambil," katanya.

Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam (Jais) sebelum ini melaksanakan program pemutihan bagi memastikan institusi tahfiz persendirian mematuhi syarat minimum kebenaran merancang oleh PBT.

Ia bagi membantu pengusaha tahfiz persendirian meneruskan operasi secara sementara, seterusnya menerima bantuan Jais.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.