ad
BERITA UTAMA

WTE Batu Arang mesra alam, cekap tenaga, dilengkapi pusat penyelidikan inovasi

24 Feb 2025, 11:00 AM
WTE Batu Arang mesra alam, cekap tenaga, dilengkapi pusat penyelidikan inovasi
WTE Batu Arang mesra alam, cekap tenaga, dilengkapi pusat penyelidikan inovasi

SHAH ALAM, 24 FEB: Projek loji sisa kepada tenaga (WTE) di Batu Arang, Rawang bakal dibangunkan sebagai Eco Park yang merangkumi pelbagai komponen tambahan, termasuk pusat penyelidikan inovasi.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata projek berkenaan juga bakal memiliki ladang solar, pusat pendidikan tenaga hijau, selain kemudahan seperti taman rekreasi untuk penduduk setempat.

“Pembinaan WTE ini mengambil inspirasi daripada loji yang berjaya dibangunkan di beberapa negara maju termasuk Jepun, Austria, Switzerland, Jerman, Perancis, dan United Kingdom.

“Pengalaman dan teknologi dari negara terbabit dijadikan rujukan bagi memastikan WTE yang akan dibangunkan adalah mesra alam, cekap tenaga dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan bagi Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

[caption id="attachment_688730" align="aligncenter" width="940"] EXCO Pembangunan Kerajaan Tempatan, Pelancongan, Pembangunan Kampung Baru Dato’ Ng Suee Lim pada mesyuarat pertama (pembukaan) persidangan penggal ketiga Dewan Negeri Selangor 2025 di Dewan Negeri Selangor pada 24 Februari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Suee Lim menambah, Batu Arang dipilih sebagai lokasi pembinaan loji WTE berdasarkan beberapa faktor antaranya berdekatan pencawang masuk utama Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang membolehkan sambungan tenaga lebih efisien.

Jelasnya, Batu Arang memiliki bentuk muka bumi yang stabil dan membolehkan pembinaan loji WTE dibina kukuh selain lokasinya berhampiran dengan rangkaian lebuh raya utama.

“Kemudahan kemasyarakatan juga akan disediakan iaitu klinik kesihatan dan naik taraf jalan masuk sedia ada. Kita juga akan bina jalan masuk baru bagi mengurangkan gangguan terhadap penduduk,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan itu berkata Kerajaan Negeri memahami kebimbangan dan bantahan penduduk, namun projek loji WTE akan dipantau ketat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menurutnya peningkatan pembuangan sisa terutamanya sampah domestik setiap tahun menyebabkan Kerajaan Negeri terpaksa melaksana projek loji WTE yang lebih bersifat mesra alam dan cekap tenaga.

“Dengan kepadatan penduduk yang tinggi hingga mencecah 7.3 juta orang, kita menghasilkan sekitar 7,000 tan sisa pepejal setiap hari atau satu perempat daripada jumlah sampah yang dihasilkan di Malaysia sehari,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.