SHAH ALAM, 24 FEB: Kerajaan Negeri memperuntuk lebih RM200 juta bagi menjalankan operasi perkhidmatan Bas Smart Selangor dalam tempoh 10 tahun sekali gus memudahkan pergerakan rakyat.
Menurut unit perancang ekonomi negeri, sejumlah RM20 juta dibelanjakan sepanjang tahun ini dengan hampir RM11.49 juta dikhaskan untuk memastikan perkhidmatan bas berjalan lancar.
Manakala baki peruntukan digunakan untuk menjayakan beberapa program lain antaranya penggunaan bas elektrik (EV), program van transit atas permintaan (DRT), laluan pejalan kaki serta pelan pembangunan induk mobiliti negeri.
“Penggunaan EV menggantikan bas konvensional merupakan inisiatif negeri bagi mempercepat peralihan tenaga.
“Ini juga merupakan usaha terhadap agenda pelepasan karbon sifar bersih seperti terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1),” menurut kenyataan unit berkenaan.
Bermula 2015, Kerajaan Negeri memperkenalkan program Bas Smart Selangor dan dilaksanakan secara konsisten di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) merangkumi keseluruhan 60 laluan dan pengoperasian 164 bas termasuk bas EV di Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Bandaraya Shah Alam.