ad
BERITA UTAMA

EXCO: Selangor ke arah pendigitalan kampung tradisi, laksana dasar, perkemas pentadbiran

24 Feb 2025, 9:28 AM
EXCO: Selangor ke arah pendigitalan kampung tradisi, laksana dasar, perkemas pentadbiran
EXCO: Selangor ke arah pendigitalan kampung tradisi, laksana dasar, perkemas pentadbiran

SHAH ALAM, 24 FEB: Kerajaan Negeri sedang memperhalusi cadangan pendigitalan kepada 373 kampung tradisi sebagai langkah ke arah pengurusan lebih sistematik dan bersepadu.

EXCO Kemajuan Luar Bandar Datuk Rizam Ismail berkata proses itu sudah bermula menerusi inisiatif pemberian komputer riba kepada semua ketua kampung di Selangor.

“Manakala dalam perancangan lain, beberapa aspek sedang diperhalusi kesesuaian dan kemampuan untuk dilaksanakan, antaranya pemetaan digital dan sistem maklumat geospatial.

“Selain itu, kita sedang membangunkan pangkalan data pembangunan dan infrastruktur yang akan menjadi rujukan utama bagi perancangan pembangunan kampung tradisi secara lebih sistematik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan bagi Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

[caption id="attachment_688672" align="aligncenter" width="951"] EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail ketika sesi soal jawab Sidang Dewan Negeri Selangor di Dewan Negeri Selangor pada 24 Februari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Pada 2 Februari lalu, 373 ketua kampung tradisi di Selangor menerima komputer riba serta data Internet percuma selama setahun bagi memudahkan urusan perkhidmatan dan komunikasi dengan penduduk.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dilapor berkata pendekatan itu memastikan kumpulan yang bertindak sebagai ejen pelaksana dasar negeri beralih ke era digitalisasi sekali gus memperkemas pentadbiran peringkat kampung.

Dalam pada itu, Rizam mengambil maklum dan bersetuju dengan pendirian tegas berhubung isu penggunaan tanah dan rumah di kampung tradisi bagi kediaman pekerja warga asing.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri akan meneliti langkah pengawalseliaan yang lebih berkesan, termasuk kawalan ketat seperti pemantauan dan tindakan operasi bersama agensi berkaitan.

“Saya juga ingin tekankan bahawa pemilik tanah dan pemaju harus bertanggungjawab dalam memastikan pembangunan di kampung tradisi tidak menjejaskan nilai sejarah serta kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.