SHAH ALAM, 24 FEB: Kejayaan Selangor merekodkan penyertaan tenaga buruh tertinggi dalam negara pada kadar 76.4 peratus tahun lalu menyumbang pengurangan indeks jenayah di negeri ini.
EXCO pelaburan berkata pencapaian ini menunjukkan Selangor merupakan negeri yang berdaya huni untuk didiami serta memacu sektor pelaburan dan perniagaan.
“Pada awal bulan ini, Jabatan Perangkaan menyatakan Selangor sekali lagi merupakan negeri yang mencatatkan kadar pengangguran yang terendah di Malaysia pada 1.7 peratus.
“Minggu lalu, Ketua Polis Selangor memberitahu kadar jenayah indeks di negeri ini menurun hingga 12 peratus tahun lepas.
“Kedua-dua angka ini adalah saling berkaitan. Ia juga akan menyumbang peningkatan Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” kata Ng Sze Han.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Dalam pada itu, Sze Han memaklumkan Kerajaan Negeri membawa masuk pelaburan bernilai tinggi sejumlah RM2.2 bilion melalui pembangunan kilang pemasangan kereta Chery di Lembah Beringin.
“Dengan sasaran untuk mengeluarkan 100,000 kereta setahun, kilang di atas tapak seluar 81 hektar ini juga akan didirikan pusat penyelidikan dan pembangunan untuk pemanduan produk Chery.
“Selangor yang mempunyai lebih 50 peratus ekosistem automatif di Malaysia, tentu akan mendapat manfaat daripada rantaian bekalan ini,” ujarnya.