PUTRAJAYA, 24 FEB: Murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Presint 11(1) yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya di sini selepas terlibat dalam kemalangan minggu lalu, kini stabil.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Aidi Sham Mohamed ketika dihubungi berkata Khairul Hanafi, 8, sudah sedarkan diri.
Dalam kemalangan Khamis lalu itu Khairul Hanafi dikatakan dirempuh sebuah kenderaan ketika hendak melintas jalan di hadapan sekolah di sini, dan orang ramai terpaksa menterbalikkan sebuah kereta bagi mengeluarkan beliau yang terperangkap di bawahnya.
Aidi sebelum ini berkata murid itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selain patah kaki kiri.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan keprihatinannya terhadap Khairul Hanafi malah beliau meminta Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim menziarahi kanak-kanak itu dan keluarganya di Hospital Putrajaya.
- BERNAMA