SHAH ALAM, 24 FEB: Prestasi ditonjolkan pemenang Selangor Future Cup 2025 pada Kejohanan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) cemerlang dan dikagumi.
Ketua e-sukan Selangor Red Giants (SRG) Simon Lim menyifatkan bakat semua peserta dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning boleh diketengahkan.
“Saya kagum dengan prestasi mereka, cara bermain seperti seorang profesional. Saya yakin jika diasah mereka boleh pergi lebih jauh.
[caption id="attachment_688714" align="alignleft" width="348"] Ketua Selangor Red Giants, Simon Lim[/caption]
“Kita cadang untuk bawa peserta ini ke pusat sukan elektronik (e-sukan) kita untuk mereka merasai pengalaman, berlatih dan cuba kembangkan lagi bakat sedia ada,” katanya.
Beliau ditemui selepas Pertandingan Penutup Selangor Future Cup 2025 Kejohanan MLBB yang dirasmikan EXCO Belia dan Sukan Mohd Najwan Halimi di pusat beli-belah AEON Shah Alam di sini, semalam.
[caption id="attachment_688715" align="alignright" width="345"] Adib Sulaiman Mohd Mulyadi[/caption]
Sementara itu, jurulatih e-sukan MLBB SMK Kota Kemuning, Adib Sulaiman Mohd Mulyadi berkata tiada rahsia di sebalik kemenangan selain perlu sentiasa berdisiplin.
“Sedikit-sebanyak memang ada tekanan sebab ini merupakan kejohanan berprestij kali pertama kita sertai dan pasukan juga baharu sahaja ditubuh.
“Saya cuma tekankan yang penting adalah disiplin dan kerjasama antara ahli pasukan. Memang agak berdebar pada mulanya kerana saingan agak sengit,” katanya.
[caption id="attachment_688716" align="alignleft" width="347"] Wong Kae Juen[/caption]
Ahli pasukan SMK Kota Kemuning, Wong Kae Juen, 17, mengakui keserasian antara ahli pasukan juga merupakan kejayaan semalam.
“Pasukan ini baharu sahaja ditubuh sebulan lalu untuk kejohanan ini. Tiada rahsia kejayaan melainkan kami sentiasa berbincang dan percaya satu sama lain.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri anjurkan kejohanan ini. Kepada anak muda di luar sana yang berminat untuk ceburi e-sukan, pastikan tidak abaikan pelajaran dan masa bersama keluarga,” katanya yang mula ceburi bidang itu sejak usia 10 tahun.
SMK Kota Kemuning merangkul juara sulung kejohanan e-sukan Selangor Future Cup 2025, selepas menewaskan SMK Saujana Utama, Kuala Selangor .
SMK Kota Kemuning membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, berlian bernilai RM20,000 dan biasiswa penuh bernilai RM160,000 bagi Diploma Kemahiran Malaysia tajaan Todak.
Sekolah tersebut turut memenangi RM30,000 untuk pembangunan hab e-sukan, trofi, pingat dan barangan eksklusif daripada Selangor Red Giants (SRG) dan Todak.