ad
AGENDA

Pemilihan KEADILAN: Amirudin sahkan tanding pusat, belum putus jawatan

24 Feb 2025, 6:25 AM
Pemilihan KEADILAN: Amirudin sahkan tanding pusat, belum putus jawatan
Pemilihan KEADILAN: Amirudin sahkan tanding pusat, belum putus jawatan

SHAH ALAM, 24 FEB: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini mengesahkan akan bertanding peringkat pimpinan pusat pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Mei depan.

Bagaimanapun, beliau belum memutuskan jawatan yang bakal ditandinginya, mengambil kira keperluan mewujudkan kestabilan memandangkan KEADILAN adalah antara parti tunjang dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Sudah ada pertemuan dengan ramai pihak, ada yang gesa saya bertanding jawatan sama, ada yang gesa bertanding jawatan lain.

"Saya memerlukan sedikit masa sebab yang penting bagi saya bukan kedudukan tetapi bagaimana memperkukuhkan parti. Adakah tujuan saya bertanding akan memperkemas parti atau timbulkan perpecahan dan perbalahan tidak berkesudahan.

“Insya-Allah saya akan bertanding di peringkat pusat cuma belum putuskan lagi. Mungkin sebelum puasa atau awal puasa,” kata Dato' Menteri Besar ketika ditemui pada majlis pelancaran bas elektrik milik Majlis Bandaraya Shah Alam di Seksyen 19, di sini hari ini.

[caption id="attachment_688662" align="aligncenter" width="791"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama pimpinan Kerajaan Negeri bergambar bersama ketika pelancaran perkhidmatan bas elektrik bagi program Bas Smart Selangor sejurus tiba di pekarangan bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 24 Februari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Berhubung jangkaan jawatan presiden dan timbalan presiden yang tidak akan dipertandingkan, Pengerusi KEADILAN Selangor berkata sebarang keputusan adalah untuk kebaikan parti.

Amirudin menegaskan perlu melihat kesan yang timbul sekiranya dua jawatan berkenaan dipertandingkan.

"Bagi saya jika kedua jawatan itu dipertandingkan dan dapat memperkukuh serta memperkemas gerak kerja parti, bolehlah tetapi jika pertandingan itu menimbulkan perbalahan dan menggoyang parti dalam jangka masa panjang terhadap keutuhan kerajaan, saya rasa ia wajar dimusyawarahkan.

"Tetapi hak demokrasi itu ada. Saya rasa parti akan memberi ruang itu. Kita berbincang secara rasional kalau ada yang nak masuk, masuklah (bertanding). Kalau tidak melibatkan perseteruan yang tajam, tiada masalah," katanya.

Awal bulan ini, Pengerusi Biro Antarabangsa KEADILAN Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin memaklumkan kemungkinan dua jawatan utama terbabit tidak akan dipertandingkan pada penggal akan datang.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.