SHAH ALAM, 24 FEB: Seramai 72,385 atau 59.3 peratus daripada 122,062 murid tahun satu yang terlibat dalam program intervensi 3M (membaca, mengira dan menulis) sepanjang tahun lalu, berjaya menguasai kemahiran itu.
Timbalan menteri pendidikan berkata pengesanan awal literasi dan numerasi murid tahun satu bagi sesi akademik 2024/2025 yang dijalankan selepas tiga bulan sesi persekolahan, mengenal pasti 122,062 murid belum menguasai kemahiran asas 3M.
Jelas Wong Kah Woh, susulan itu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan program intervensi fasa satu dari Julai hingga September 2024 dengan 48,308 murid berjaya menguasai kemahiran asas 3M.
“Pada Oktober hingga Disember tahun lalu, program intervensi fasa dua diteruskan dengan 24,077 murid lagi berhasil menguasai kemahiran asas 3M.
“Bagi murid yang masih belum menguasai kemahiran ini, mereka akan mengikuti program pemulihan khas di tahun dua,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan (PN-Pokok Sena) Dato’ Ahmad Saad@Yahaya mengenai cabaran dihadapi sekolah dalam program intervensi pemulihan khas penguasaan kemahiran asas 3M.
Kah Woh berkata KPM turut menjalin kerjasama dengan Kementerian Kewangan melalui Program Anak Kita (3M) diterajui Unit Pantau Madani dan Yayasan Hasanah melibatkan 1,288 sekolah dengan penyertaan 53,252 murid.
Selain itu, katanya, KPM turut mengambil pendekatan memberikan tumpuan khusus kepada literasi dan numerasi bagi murid tahap satu dalam Kurikulum Prasekolah 2026 dan Kurikulum Persekolahan 2027.