SHAH ALAM, 24 FEB: Kerajaan Selangor sedia mengkaji semula pemberian elaun atlet bagi memastikan negeri tidak terus kehilangan bakat sukan.
EXCO Sukan Najwan Halimi berkata kadar elaun atlet adalah berbeza mengikut negeri dan perkara itu mampu 'memancing' atlet khususnya yang berpotensi tinggi.
“Kita sedia akui, kadar elaun memang berbeza. Negeri yang ada komitmen tinggi untuk pembangunan sukan berupaya memancing atlet negeri lain.
“Kita sedang lihat keperluan untuk kaji semula elaun. Kita tidak mahu kehilangan bakat sukan terutamanya atlet yang berpotensi,” katanya di persidangan Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Taman Medan, Dr Afif Bahardin berhubung kadar pemberian elaun atlet Selangor berbanding negeri lain.
Dalam pada itu, Najwan menambah Kerajaan Negeri berhasrat menyelaras elaun atlet orang kelainan upaya (OKU) supaya golongan berkenaan menerima amaun dan layanan setara.
Jelasnya, penyediaan elaun bagi atlet sukan para adalah bawah Kementerian Belia dan Sukan sekali gus wujud perbezaan urus tadbir.
“Memang ada perbezaan tetapi negeri cuba selaraskan supaya mereka juga dapat layanan sama. Kita akan bincang, ini kerana ada perbezaan bidang kuasa,” katanya.