SHAH ALAM, 23 FEB: Malam Mahabbah Selangor sempena Festival Turath Islami Selangor di masjid negeri di sini, malam ini berlangsung meriah dengan penyertaan lebih 1,000 individu.
Program menampilkan Menteri Wakaf Mesir Dr Usamah al-Sayyid Mahmud al-Azhari turut diserikan kehadiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Sri Amirudin Shari.
Majlis dimulakan dengan alunan selawat Hizib Isnin hingga Hizib Ahad berpandukan kitab Dalail al-Khairiat.
Kitab Dalail al-Khairiat mengandungi selawat kepada Nabi Muhammad SAW dalam pelbagai bentuk dan lafaz disusun ulama sufi Maghribi Imam al-Juzuli.
Peserta kemudian dikurniakan pengijazahan oleh Dr Usamah selepas selesai bacaan selawat, diikuti solat Isyak berjemaah.
Dato’ Menteri Besar bersama peserta seterusnya mendengar Tausiyah Perdana bertajuk Menghayati Ramadan Cara Salafus Soleh yang disampai Dr Usamah.
Selain Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Islam Selangor, acara tersebut turut dianjurkan bersama Menteri Besar Selangor (Perbadanan) atau MBI, Inisiatif Buku Darul Ehsan, Media Selangor Sdn Bhd, Akademi Pemikiran Turath dan masjid negeri.
Sebelum ini, Amirudin berkata pentadbirannya berusaha menyuburkan syiar Islam menerusi pelbagai inisiatif dan program seiring status negeri maju.
Belanjawan Selangor 2025 juga memperuntukan RM1 juta kepada kepada Akademi Literasi al-Quran Selangor (ALAS) dan Akademi Turath Selangor bagi memperkasa pengurusan dan pengajian al-Quran serta kitab.
[caption id="attachment_688612" align="aligncenter" width="700"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Sri Amirudin Shari (kiri, dua) dan Menteri Wakaf Mesir Dr Usamah al-Sayyid Mahmud al-Azhari (tengah) menghadiri Malam Mahabbah Selangor sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 23 Februari 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_688615" align="aligncenter" width="700"] Isteri Dato' Menteri Besar Datin Seri Masdiana Muhamad menghadiri Malam Mahabbah Selangor sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 23 Februari 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]