SHAH ALAM, 23 FEB: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning merangkul juara sulung kejohanan e-sukan Selangor Future Cup 2025, selepas menewaskan SMK Saujana Utama, Kuala Selangor .
Pertandingan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) anjuran Kerajaan Negeri yang disertai 64 sekolah itu berlangsung dua hari bermula semalam di pusat beli-belah AEON Shah Alam.
SMK Kota Kemuning membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, berlian bernilai RM20,000 dan biasiswa penuh bernilai RM160,000 bagi Diploma Kemahiran Malaysia tajaan Todak.
Sekolah tersebut turut memenangi RM30,000 untuk pembangunan hab e-sukan, trofi, pingat dan barangan eksklusif daripada Selangor Red Giants (SRG) dan Todak.
Pemain SMK Kota Kemuning terdiri Wong Kae Juen, 17; Muhammad Fariez Arsyad Zuriadi, 16; Muhammad Imran Muhamad Aswad, 16; Anantha Raj Kumar, 16; S Phiraphad, 17 dan jurulatih Adib Sulaiman Mohd Mulyadi, 17.
SMK Saujana Utama selaku naib juara membawa pulang wang tunai RM2,500 manakala tempat ketiga (SMK Seksyen 19) dan tempat keempat (SMK Bandar Sunway), masing-masing memperoleh RM1,000, trofi dan barangan eksklusif SRG dan Todak.
Terdahulu EXCO Belia dan Sukan Mohd Najwan Halimi mengucapkan tahniah kepada pemenang dan berharap kejohanan tersebut melonjakkan pembangunan e-sukan di Selangor.
“Tahniah kepada SMK Kota Kemuning kerana berjaya merangkul kejohanan sulung Selangor Future Cup 2025 MLBB hari ini. Alhamdulillah pemenang juga berpeluang menyambung pelajaran dengan biasiswa yang ditaja Todak.
“Kemenangan ini juga memberi peluang kepada pemenang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Terima kasih kepada 64 sekolah yang memberi kerjasama yang cukup baik,” katanya ketika ditemui.
[caption id="attachment_688576" align="aligncenter" width="700"] Pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kemuning, Klang menjuarai Selangor Future Cup 2025 Kejohanan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) antara sekolah negeri Selangor di pusat membeli belah AEON Mall Shah Alam pada 23 Februari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_688582" align="aligncenter" width="700"] Orang ramai menyaksikan Selangor Future Cup 2025 Kejohanan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) antara sekolah negeri Selangor di pusat membeli belah AEON Mall Shah Alam pada 23 Februari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]