Oleh Benedict Anak Samling
Aku di hadapan altar kayu ini mungkin telah berjam-jam. Dua batang lilin yang aku nyalakan tiga jam yang lalu tinggal separuh. Lilin yang cair jatuh dan berkumpul di atas punggung piring putih yang sumbing. Altar ini telah lama aku tinggalkan atau lebih tepat sejak aku meninggalkan rumah orang tuaku, yakni 22 tahun enam bulan yang lalu. Kitab yang kulitnya berwarna biru tua diselaputi lapisan debu yang aku anggarkan lebih tebal dari lapisan debu di atas daun di tepi jalan tanah merah menuju ke kampungku atau mungkin sedikit nipis dari dosaku. Bukan aku tidak mahu membersihkan lapisan debu pada kitab itu tetapi aku rasakan lebih berdosa membiarkan kitab itu dalam keadaan yang bersih. Atau, mungkinkah tanganku ini terlalu kotor daripada debu itu?
Aku benci altar ini. Di altar inilah dikatakan doa-doaku bergayut tidak disambut Tuhan. Di altar kayu belian inilah doaku ditertawakan oleh seorang manusia, manusia yang menggelar dirinya Yang Teragung, kedudukan suci yang amat dekat dan berada di sisi kanan Tuhan. Dan, di gereja tua di tengah-tengah kampungku, dia adalah kepalanya.
“Bersujudlah di hadapanku dan doa kalian akan kusampaikan kepada Tuhan,” kata Yang Teragung setiap kali selesai upacara pemberkatan roti suci bersama segelas wain. Sebaik sahaja melaungkan kata-kata hikmatnya itu, Yang Teragung akan meneguk wain lalu menyumbat roti suci ke dalam mulutnya. Maka, bersujudlah semua pengunjung di hadapan altar batu megalit.
Kata Yang Teragung yang berperut buncit dan berkepala botak dan berkulit hitam berkilat itu, doaku hanya permainan kata-kata, terlalu ringkas, tiada keikhlasan, tiada buah fikiran, terlalu meminta-minta, tiada keyakinan dan miskin wahyu serta firman. Kata Yang Teragung yang baru menikahi dua orang wanita, seorang dari Ghana dan dua orang dari Thailand, doa harus memetik ayat-ayat dari kitab. Yang Teragung yang kononnya seorang eksorsis, dengan memetik ayat-ayat dari kitab, doa itu lebih kuat, kedengaran beriman dan mudah difahami oleh Tuhan, seterusnya mudah untuk Tuhan tunaikan permintaan di dalam doa itu. Nama Yang Teragung itu benar-benar melekat di dalam kepalaku, lebih melekat daripada ayat Keluaran 13:17. Nama Yang Teragung itu Yang Teragung Musatamama Wurungkuya Marangkayo.
Entah mengapa manusia menyembah dan patuh pada Yang Teragung itu. Apa sahaja yang dikatakan oleh Yang Teragung mereka telan seperti unta menelan batang kaktus yang penuh duri. Benar. Apa sahaja yang diperkatakan ditelan dengan rakusnya seperti kerasukan.
Kata orang tuaku – bapa, ibu, datuk dan nenek, aku harus menyertai sekolah missionari untuk mencari cahaya keimanan. Dengan penemuan cahaya keimanan itu, doa-doaku akan mudah didengari, doa-doaku akan menjadi bererti dan pasti firman-firman Tuhan akan menerangi jiwa dan rohku. Paling diharapkan aku akan menjadi Yang Teragung, jawatan yang membolehkan aku membawa mereka ke syurga. Benarkah apa yang aku dengar?
Kata mereka lagi, Yang Teragung Musatamama Wurungkuya Marangkayo adalah makhluk Tuhan yang paling layak memimpin aku ke jalan yang paling benar dan bercahaya. Menurut orang-orang tuaku, mencari jalan yang benar dan bercahaya itu adalah keutamaan di dalam hidupku. Jalan itu akan membawa aku ke syurga dan setelah menemui jalan yang bercahaya itu aku boleh membawa sesiapa sahaja menuju ke syurga.
Benarkah? Pertanyaanku itu seperti pencakar untuk mengumpul daun-daun mati, mencakar wajah Yang Teragung Musatamama Wurungkuya Marangkayo sehingga matanya terbuka luas dan jelas dia mengetap bibirnya. Dia mengepal jari-jemari. Perlahan-lahan dia membuat tanda salib pada dahi. Dia mendengus. Dia mencium altar seperti mencium dahi isteri-isteri barunya.
“Buat seperti apa yang aku buat,” ujar Yang Teragung yang tubuhnya dibalut jubah putih berenda kuning emas. Kata orang kanannya, renda itu adalah dari bebenang emas yang didatangkan dari tanah Bathlehem.
Setiap kali memimpin doa, Yang Teragung yang baru menikahi dua orang wanita pada hari yang sama dan berumah agam di puncak bukit akan mendepa tangan, menggoncang-goncang kepala, menghentak-hentak kaki lalu menuturkan kata-kata yang tidak pernah kujumpa dalam mana-mana kitab. Katanya, itu bahasa Hebrew. Tetapi, aku yakin kata-kata itu adalah bebelan Yang Teragung memarahkan dirinya yang tidak pernah tahu apa yang didoanya itu
Tetapi, entah mengapa makhluk yang dikatakan dihantar oleh Tuhan untuk memimpin manusia mencari cahaya kehidupan telah mentertawakan doaku. Bagaimana rupa doa yang sempurna? Kepada siapa doa harus dituju? Apakah doa ada kata-kata aluan? Apakah doa harus ada puji-pujian? Apakah doa perlu ada nilai-nilai estetika, tersirat dan tersurat? Atau, benarkah doa itu harus ada saluran khas seperti saluran doa para VIP?
Aku menatap lilin di hadapanku yang semakin mencair. Aku ingin berdoa. Tetapi, apa doa yang harus aku tuturkan dan kepada siapa doaku dituju? Apakah aku perlu berpura-pura doaku didengari dan akan tertunaikah segala permintaan di dalam doa?
Aku memejam mata. Doaku mudah sahaja: Ya Tuhan, aku berdoa semoga doaku sampai kepada-Mu. Begitulah doaku yang ditertawakan oleh Yang Teragung.
Api yang merah menjilat perlahan tubuh lilin. Lilin yang putih mencair menjadi titisan jernih, mengalir perlahan dan singgah di pangkal lilin meninggalkan alur yang semakin menebal. Cahaya yang kecil itu sedikit menerangkan kegelapan. Siapa yang memberi cahaya? Lilin atau api? Seperti api yang akan terus menyala selagi ada lilin. Dan, lilin akan terus mencair untuk menghidupkan api lalu menerangkan altar ini.
Begitukah rupa doa?