ad
AGENDA

Wakil rakyat Ayer Kuning meninggal dunia

22 Feb 2025, 12:14 PM
Wakil rakyat Ayer Kuning meninggal dunia

GEORGE TOWN, 22 FEB: Ahli Dewan Negeri (ADUN) Ayer Kuning Ishsam Shahruddin, 59, meninggal dunia setelah tidak sedarkan diri selepas perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Bandaraya di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata Ishsam rebah semasa bersalaman dengan pemain lain di tepi padang pada Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di stadium itu.

“Beliau telah dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 5.40 petang selepas bantuan kecemasan diberikan di tepi padang.

"Yang Berhormat telah disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan HPP pada 6.28 petang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rozak berkata mayat Ishsam dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HPP untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Difahamkan Ishsam yang lahir pada 31 Ogos 1966 merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Perak sekitar 80-an dan 90-an.

Allahyarham merupakan calon UMNO bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N48 Ayer Kuning pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Tapah telah memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.