SHAH ALAM, 22 FEB: Program BikeCare-1000 iaitu bantuan bayaran pendahuluan pembelian motosikal untuk pekerja sudah ditamatkan tahun lalu.
EXCO Pembasmian Kemiskinan berkata berita mengenai program berkenaan yang kini berlegar di media sosial adalah tidak benar.
"Terdapat kekeliruan dalam kalangan orang ramai mengenai permohonan BikeCare-1000 melalui berita yang diterbitkan pada 21 Februari tahun lalu yang kini dikongsi semula.
"Artikel itu adalah program 2024. Ramai hubungi pejabat saya untuk mendapatkan penjelasan selepas keluar berita mengenai permohonan skim itu yang dibuka sehingga 1 Mac," kata V Papparaidu.
Di bawah program itu yang dilaksanakan melalui peruntukan Kerajaan Negeri, pemohon yang layak diberikan wang pendahuluan untuk membeli motosikal.
Bagaimanapun Papparaidu menjelaskan projek itu sudah dihentikan tahun lalu dan pelaksanaan pelbagai program pembangunan kemahiran, termasuk pembaikan motosikal, sedang dipertimbangkan untuk memberi manfaat kepada orang ramai.
Beliau berharap penjelasan itu akan menamatkan kekeliruan disebabkan berita tidak sahih yang keluar di media sosial ketika ini.