KLANG, 22 FEB: Lorong Gopeng di sini, bakal dikenali lorong seni dan pasar budaya menerusi projek pembangunan semula bernilai RM10 juta, kata EXCO Pelancongan.
Dato’ Ng Suee Lim berkata Lorong Gopeng dengan keluasan 240 meter dijangka menjadi tarikan pelancongan baharu di Selangor selepas pembukaannya Disember ini.
“Projek Lorong Gopeng ini bukan sahaja menghidupkan kembali kawasan warisan di Klang, malah memberi peluang kepada usahawan kecil menjana pertumbuhan ekonomi setempat.
“Kita menyasarkan Lorong Gopeng untuk menjadi ikon pelancongan setanding dengan Petaling Street Kuala Lumpur, Jonker Walk di Melaka dan Concubine Lane di Perak,” katanya.
[caption id="attachment_688247" align="alignleft" width="500"] EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berucap pada majlis pra-pelancaran Lorong Gopeng di Pusat Konvensyen Komersial Klang pada 21 Februari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Beliau berkata demikian pada majlis pra-pelancaran Lorong Gopeng di Pusat Konvensyen Komersial Klang di sini, malam tadi, yang turut dihadiri Timbalan Datuk Bandar Klang Mohd Zary Affendi Mohd Arif.
Suee Lim menambah, pembangunan semula Lorong Gopeng membabitkan tiga fasa dengan fasa pertama iaitu pembinaan pintu gerbang, seni mural, perabot jalanan dan elemen sejarah sedang giat dijalankan.
Menurutnya, fasa kedua adalah pemulihan Pasar Jawa dan Sungai Klang, manakala fasa terakhir melibatkan kerja penyambungan Jambatan Kota ke Pengkalan Batu, naik taraf gerai makan serta pengindahan Taman Awam Pengkalan Batu.
“Apa yang paling penting adalah kebersihan. Kita bertegas untuk memastikan Klang sentiasa bersih dan perkara ini memerlukan kerjasama semua pihak khususnya Majlis Bandaraya Diraja Klang,” katanya.
Lorong Gopeng bakal menampilkan 30 hingga 40 usahawan yang menawarkan pelbagai makanan menarik dan beroperasi setiap Jumaat hingga Ahad bermula jam 3 petang hingga 12 tengah malam.
[caption id="attachment_688248" align="aligncenter" width="1367"] EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim (empat kiri) bersama Timbalan Datuk Bandar Klang Mohd Zary Affendi Mohd Arif (lima kanan) bergambar dalam majlis pra-pelancaran Lorong Gopeng di Pusat Konvensyen Komersial Klang pada 21 Februari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]