ad
AGENDA

Suami kelar tangan selepas dipercayai bunuh isteri

22 Feb 2025, 1:07 AM
Suami kelar tangan selepas dipercayai bunuh isteri

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Ahli perniagaan ditahan selepas dipercayai membunuh isteri di sebuah rumah di kawasan Bandar Sungai Long, dekat sini pada 5.32 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada anak lelaki pasangan itu berusia 35 tahun, yang memaklumkan bapanya berusia 65 tahun cuba membunuh diri dengan mengelar tangan dengan pisau selepas dipercayai membunuh ibunya.

Beliau berkata pihaknya ke lokasi kejadian bersama pasukan forensik polis bagi menjalankan siasatan dan mendapati mangsa warga tempatan berusia 63 tahun ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di bilik tidur dan disahkan meninggal dunia.

“Senjata pisau yang digunakan dalam kejadian ini dirampas bersama beberapa barang kes lain bagi membantu siasatan.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan dipercayai suspek mengalami tekanan perasaan akibat perniagaan yang dijalankan selama 25 tahun mengalami masalah kewangan dan penyakit yang dialami isterinya,” katanya dalam kenyataan.

Naazron berkata buat masa ini, penyakit mangsa belum dikenal pasti kerana masih menunggu laporan penuh perubatan dan difahamkan pasangan itu sudah berkahwin 36 tahun serta memiliki sepasang anak.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat dan punca kematian adalah suffocation.

“Suspek dibenarkan reman seminggu sehingga 27 Februari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes ASP R K Umesh di talian 012-611 4900.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.