ad
AGENDA

MB: Proses pemetaan sempadan Selangor-Kuala Lumpur selesai

21 Feb 2025, 5:00 AM
MB: Proses pemetaan sempadan Selangor-Kuala Lumpur selesai

SHAH ALAM, 21 FEB: Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) selesai melaksanakan fasa pengukuran dan pemetaan sempadan Selangor dan Kuala Lumpur berjarak 103.7 kilometer (km) pada 31 Oktober tahun lalu, maklum Dato' Menteri Besar.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata secara keseluruhannya pengukuran dan pemetaan sempadan itu mempunyai kira-kira 86 lembar peta dengan keluasan 103.7 kilometer.

"Pada ketika ini, kita sedang menentukan dan menetapkan apa yang dipanggil Outstanding Boundary Problem (OBP) bagi kita selesaikan sebagaimana nilai-nilai atau jumlah ditetapkan pada 5 Mac 2020.

"Kita telah menandakan apa yang dipanggil OBP, supaya kita boleh melihat kawasan ini, boleh ditentukan di mana sempadannya. Tambah lagi selepas selesai ukuran dilakukan Jupem pada 31 Oktober 2024," katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim mengenai persempadanan Selangor dan Kuala Lumpur di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menurut Amirudin, bagi memastikan perbicangan mengenai persempadanan Selangor dan Kuala Lumpur dapat dimuktamadkan, pihak Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) sentiasa mengadakan perbincangan dan sesi libat urus bersama pejabat tanah dan galian Kuala Lumpur serta Jupem.

"Beberapa siri perbincangan dan mesyuarat telah dilakukan dan insya-Allah mesyuarat seterusnya akan berlangsung pada 11 Mac 2025.

"Kita sangat optimis dapat selesaikan isu sempadan walaupun kawasan sempadan antara Kuala Lumpur dan Selangor sedikit rumit berbanding pengalaman kita selesaikan ukuran dengan dengan Negeri Sembilan dan Pahang," katanya.

Menurut Amirudin kerumitan itu timbul akibat kedudukan sempadan yang sebahagiannya melibatkan premis, jalan, longkang dan kawasan tertentu.

"Contohnya, garis sempadan yang ditetapkan pada 1970 tidak diukur, premis itu telah dibangunkan oleh pihak DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur). Ada juga yang telah dibangunkan pihak berkuasa tempatan Selangor, tapi dalam ukuran sekarang ia masuk dalam kawasan sempadan Kuala Lumpur.

"Jadi hal-hal ini harus dimuktamadkan dan kita pasti dapat selesaikan hal ini sebelum satu perjanjian akan ditanda tangani antara Menteri Besar dan Menteri Wilayah yang akan menetapkan garis sempadan ini sekali gus menentu sahkan kedaulatan tanah dan wilayah Selangor supaya dapat dibangunkan dengan lebih baik dan perancangan dilaksanakan," katanya.

Sebelum ini Amirudin berkata persempadanan kawasan antara Selangor dan Kuala Lumpur dijangka dimuktamadkan dalam tempoh dua tahun lagi iaitu 2026.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.