SHAH ALAM, 21 FEB: Sejumlah 80 kes pencemaran sungai direkodkan sepanjang tahun lalu, maklum EXCO alam sekitar.
Jamaliah Jamaluddin berkata semua kes pencemaran yang dikesan itu disiasat Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi mengenal pasti punca dan pelakunya.
"Bagi kes yang kertas siasatannya lengkap, tindakan kompaun bagi kesalahan di Bawah Enakmen LUAS 1999 dikenakan kepada pelaku selepas mendapat izin daripada pihak pendakwaan," katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Beliau menjawab soalan wakil rakyat Taman Medan Dr Afif Bahardin berkenaan jumlah kes pencemaran sungai sepanjang tahun lalu dan tindakan penguatkuasaan kepada pihak bertanggungjawab.
[caption id="attachment_688085" align="alignnone" width="843"] EXCO Kesihatan Awam & Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin menjawab soalan dalam Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor ke 15 pada 21 Februari 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Mengulas lanjut, Jamaliah menjelaskan pelbagai tindakan dilaksana bagi menangani masalah pencemaran termasuk pemantauan 24 jam melalui Skuad Elit Air LUAS (SKEAL) yang bermula sejak 2020.
"Tinjauan sungai-sungai bagi mengenal pasti aktiviti-aktiviti dalam 50 meter rizab sungai berisiko dan menjalankan kajian inventori guna tanah.
"Turut dilaksana pemasangan stesen telemetri kualiti air di hulu muka sauk sebagai sistem amaran awam serta pemantauan berkala ke kawasan-kawasan diisytihar berisiko sebagai zon pelindung di bawah Seksyen 48 Enakmen LUAS 1999," katanya.