ad
AGENDA

Jawi panggil lelaki berpakaian wanita dalam acara hiburan

20 Feb 2025, 12:33 PM
Jawi panggil lelaki berpakaian wanita dalam acara hiburan
Jawi panggil lelaki berpakaian wanita dalam acara hiburan

PUTRAJAYA, 20 FEB: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan memanggil semua individu yang berpakaian menyerupai wanita dalam sebuah acara hiburan pada 16 Feb lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata beliau mendapat maklumat mengenai perkembangan itu hasil daripada pertemuan dengan Ketua Pengarah Jawi Hanifuddin Roslan pagi tadi.

[caption id="attachment_681423" align="aligncenter" width="755"] Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 16 September 2024. Foto BERNAMA[/caption]

“Semua individu terlibat telah dikenal pasti dan dihubungi oleh Bahagian Penguatkuasaan Jawi.

“Ini kerana tindakan mereka jelas melanggar Seksyen 28 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan iaitu kesalahan lelaki berpakaian seperti wanita,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Imam Besar Masjid Al-Aqsa Sheikh Dr Ekrima Said Sabri di pejabatnya di sini hari ini.

Mohd Na’im berkata langkah seterusnya akan disusuli dengan sesi perbincangan secara tertutup antara Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan semua individu terlibat bagi memberikan nasihat serta penerangan berkaitan kesalahan yang telah dilakukan.

“Dengan harapan semoga dengan inisiatif ini, mereka akan ambil iktibar dan tidak mengulangi kesalahan sama. Kita harap aspek penguatkuasan dan kaedah nasihat yang kita buat ini dapat sampaikan mesej bahawa kita tidak berdiam diri,” katanya.

Selasa lepas, Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Madani Fahmi Fadzil memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana stesen televisyen yang melanggar sebarang garis panduan ditetapkan dan keingkaran tersebut boleh mendatangkan kesan kepada pihak terlibat.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.