ad
BERITA UTAMA

EXCO: Projek pelebaran Lebuhraya KL-Karak bermula akhir bulan ini

20 Feb 2025, 8:00 AM
EXCO: Projek pelebaran Lebuhraya KL-Karak bermula akhir bulan ini

SHAH ALAM, 20 FEB: Projek pelebaran Lebuhraya KL-Karak (KLK) dijadual bermula akhir bulan ini dan dijangka siap dalam tempoh empat tahun, kata EXCO infrastruktur.

Dato’ Ir Izham Hashim berkata projek sepanjang 45.3km membabitkan skop pelebaran dengan penambahan laluan satu lorong setiap hala bermula di Plaza Tol Gombak hingga Bentong.

“Projek pelebaran KLK telah mendapat kelulusan kerajaan Persekutuan dan kerja-kerja awalan telah bermula pada bulan lalu dan dijangka siap pada 2029.

“Pelaksanaan projek ini bakal memberi manfaat yang besar kepada pengguna lebuh raya terutamanya dalam mengatasi isu kesesakan trafik serta menambah baik ciri-ciri keselamatan,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wakil rakyat Gombak Setia, Hilman Idham berhubung pelaksanaan pembangunan KLK .

Izham menambah, skop pelebaran KLK akan dilaksanakan di dalam koridor atau jajaran lebuh raya sedia ada tanpa melibatkan pengambilan tanah tambahan.

Menurutnya, rizab lebuh raya yang berada dalam Selangor sebahagiannya merupakan tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) serta Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).

Bagaimanapun, wakil rakyat Pandan Indah itu menjelaskan, syarikat konsesi KLK bersama agensi kerajaan telah mengenal pasti kewujudan penempatan setinggan di pinggir lebuh raya berkenaan.

“Syarikat konsesi iaitu AFA PRIME Berhad bersama Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) Selangor (JKPTGS) dan JPNS mengambil inisiatif untuk membuat bancian terhadap penempatan yang terkesan.

“Laporan bancian tersebut seterusnya akan diteliti untuk diambil tindakan selanjutnya selaras dengan peraturan dan garis panduan yang berkuatkuasa,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) mempertimbang projek pelebaran jalan lama Gombak-Karak bagi mengatasi isu kesesakan terutama ketika musim perayaan.

Dato’ Seri Amirudin Shari dilapor berkata langkah berkenaan diharap dapat melancarkan pergerakan dan memberi keselesaan kepada penduduk dan pengguna jalan berkenaan.

Beliau mencadangkan perkara itu ketika sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja Yang Di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, pada Isnin lalu.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.