ad
BERITA UTAMA

EXCO: Negeri jamin tiada budaya songsang dalam penganjuran SUKMA 2026

20 Feb 2025, 6:00 AM
EXCO: Negeri jamin tiada budaya songsang dalam penganjuran SUKMA 2026

SHAH ALAM, 20 FEB: Kerajaan Negeri menjamin tiada budaya songsang seperti golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sepanjang penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

EXCO Belia dan Sukan Najwan Halimi berkata Selangor bertegas untuk memastikan budaya tidak sihat tidak menular dalam masyarakat menerusi setiap acara pada SUKMA Ke-22.

“Kita sedia maklum dengan isu yang telah berlaku mutakhir ini, antaranya membabitkan penganjuran acara muzik (lelaki berpakaian perempuan) dan insiden itu sangat kita kesali.

“Untuk penganjuran SUKMA Selangor 2026 nanti, kita akan mengambil ketetapan dan menjamin tiada sebarang unsur promosi atau menormalisasikan budaya seperti LGBT,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Seri Serdang, Abbas Salimmi Azmi berhubung tindakan negeri dalam memastikan penganjuran SUKMA 2026 tidak dicemari budaya songsang.

Isnin lalu, Najwan mengecam tindakan sebuah stesen televisyen tempatan memaparkan aksi beberapa lelaki mengayakan pakaian wanita di karpet merah pada anugerah musik berprestij.

Menyifatkan perkara itu tidak sewajarnya berlaku, Najwan menasihatkan penyiar acara berkenaan supaya lebih bertanggungjawab dalam menyusun kandungannya.

Sementara itu, Najwan menganggarkan perbelanjaan RM250 juta bagi penganjuran SUKMA 2026 melibatkan kos keseluruhan seperti pengurusan sekretariat, persediaan atlet dan perkampungan sukan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri turut berdepan cabaran dalam pemilihan venue (lokasi) utama susulan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang dijangka siap pada pertengahan 2027.

“Bagi mengatasi cabaran itu, venue-venue pertandingan (sedia ada) telah dikenal pasti dan masih boleh digunakan bagi memastikan temasya berlangsung dengan jayanya.

“Semua venue pertandingan akan dinaik taraf dan diperbaiki bagi memastikan ia mengikut piawaian yang telah ditetapkan,” katanya.

Pada 18 Julai tahun lalu, Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia memutuskan Selangor bakal menjadi tuan rumah temasya SUKMA 2026.

Ia selepas tawaran dibuat Selangor untuk menggantikan Majlis Sukan Negara (MSN) yang sepatutnya menjadi penganjur berdasarkan sistem giliran tuan rumah SUKMA yang ditetapkan secara berselang-seli.

Kali terakhir Selangor menjadi tuan rumah sukan berprestij itu pada 1998.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.