SHAH ALAM, 20 FEB: Kerajaan Selangor memandang serius berhubung isu keselamatan dan keselesaan pelajar sekolah tahfiz di negeri ini.
EXCO Hal Ehwal Agama Islam berkata susulan itu pihaknya tidak mengambil ringan terhadap sekolah tahfiz yang tidak berdaftar dan tidak menepati piawaian.
"Setakat ini 606 sekolah tahfiz didapati tidak berdaftar sejak tahun 2008. Kita ambil serius dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
"Soal keselamatan pelajar tidak boleh kita pinggirkan dan titah Tuanku juga jelas, sekolah tahfiz yang tidak patuh dan tidak berdaftar akan ditutup," kata Dr Mohammad Fahmi Ngah pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Beliau menjawab soalan wakil rakyat Seri Serdang Abbas Salimmi Che Adzmi @ Azmi berhubung sekolah tahfiz di Selangor.
Tambah Dr Mohammad Fahmi, Kerajaan Negeri juga sedang merangka satu program bagi mengenal pasti sekolah tahfiz uzur untuk dinaik taraf.
"Memang kita sedang merangka satu program kenalpasti sekolah tahfiz mana yang kita boleh naiktaraf dan perbaiki, untuk menjamin keselamatan dan keselesaan pelajar," katanya.
Baru-baru ini, Sultan Selangor turut menitahkan Jais mengawasi dan menambah baik sistem sekolah tahfiz.
“Beta mahu keadaan fizikal dan fasliliti bangunan dan asrama tahfiz dilengkapi dengan aspek keselamatan yang diiktiraf.
“Alat pencegah kebakaran juga hendaklah berada dalam keadaan yang baik dan diluluskan oleh pihak bomba. Tahfiz yang tidak berdaftar dan tidak memenuhi syarat hendaklah ditutup,” titah Baginda.