SHAH ALAM, 20 FEB: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meneliti pendekatan bagi menyegerakan projek mitigasi banjir dengan tempoh dan kos yang lebih efektif termasuk aspek pengambilan tanah.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata jabatan berkenaan turut meneliti proses reka bentuk projek sebagai usaha mempercepatkan tempoh penyiapan projek.
“Dengan kerjasama semua pihak, dijangka projek dapat disegerakan sehingga 12 bulan lebih awal dari tempoh asal projek siap.
“Kementerian komited dalam melaksanakan projek mitigasi banjir bagi menangani risiko banjir yang semakin meningkat terutamanya di kawasan yang sering terdedah bencana,” katanya di Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan (PAS-Kuala Nerus) Datuk Dr Alias Razak berhubung tindakan kementerian terhadap gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu projek tebatan banjir disegerakan.
Mengulas rancangan tebatan banjir (RTB) yang dibatalkan pada 2022, Fadillah berkata kerajaan menilai semula projek dengan memberi keputeraan kepada kawasan kritikal.
“Penilaian berdasarkan proses pentadbiran dan peruntukan kontrak yang bersesuaian serta mematuhi tatacara perolehan yang ditetapkan Kementerian Kewangan,” katanya.
Semalam ketika sesi penggulungan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat memaklumkan sebanyak 136 projek tebatan banjir telah diluluskan dengan jumlah kos RM22.86 bilion.
Bawah Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), 35 projek berkenaan kini berada di peringkat prapelaksanaan manakala 73 projek sedang dilaksanakan.