SHAH ALAM, 19 FEB: Penyampaian ilmu yang mendalam menarik minat peserta untuk hadir ke kuliah duha bersama ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang al-Fathoni sejak 2023.
Ahmad Salihin Sulaiman, 31, berkongsi peluang meraih ilmu daripada tokoh agama yang tidak boleh dilepaskan itu malah sudah menyertainya sebanyak lima kali.
“Impak ilmu yang disampaikan juga mendorong saya untuk mempraktikkan dalam kehidupan seharian.
[caption id="attachment_687896" align="alignleft" width="360"] Ahmad Salihin Sulaiman, 31. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Saya amat meminati tuan guru Baba ini kerana tahap ilmu agama yang dibawanya sangat bermanfaat dan tinggi,” katanya ketika ditemui di Masjid Negeri.
Warga emas, Salimah Yaacub, 75, berkata, beliau hadir ke kuliah duha itu bagi mencari bekalan akhirat selain mengisi waktu lapang dengan menambah ilmu.
“Walaupun penyampaian agak sukar untuk difahami atas faktor lenggok bahasa yang berlainan, ia tidak melunturkan motivasi saya untuk hadir mendalami ilmu daripada ulama terkenal ini,” katanya yang menetap di Seksyen 11, Shah Alam.
[caption id="attachment_687897" align="alignright" width="371"] Salimah Yaacub, 75. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Program talaqqi kitab adalah kesinambungan Festival Turath Islami Selangor yang dianjurkan sejak Mei 2023.
Siri kupasan kitab itu dianjurkan bersama Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), Media Selangor Sdn Bhd, Akademi Pemikiran Turath, pejabat Dato’ Menteri Besar dan masjid negeri.
Program bertujuan memperkukuh pemahaman umat Islam mengenai keilmuan Imam al-Ghazali selain menjadi wadah mendalami khazanah warisan Islam yang sarat dengan hikmah dan pedoman kehidupan.
[caption id="attachment_687899" align="aligncenter" width="1177"] Tokoh ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang al-Fathoni bersalaman dengan jemaah dalam Program Talaqqi Kitab Turath Ismail Islami siri ketujuh di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 19 Februari 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]