KUALA LUMPUR, 19 FEB: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bahrain hari ini.
Menerusi catatan Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Perdana Menteri mempersembahkan perkara berkaitan perkembangan semasa negara, selain bertanyakan khabar kesihatan Seri Paduka Baginda pada pertemuan itu.
Turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Anwar tiba di Bahrain bagi lawatan rasmi atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain Salman Hamad Al Khalifa.
[caption id="attachment_687860" align="aligncenter" width="929"] Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bahrain pada 19 Februari 2025. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar[/caption]
Semalam, Istana Negara memaklumkan Sultan Ibrahim selamat menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan musculoskeletal (otot dan tulang) di luar negara dan dijangka berangkat pulang ke Malaysia 21 Februari ini.
Kesakitan berkenaan berlaku akibat latihan ketenteraan intensif dan gaya hidup aktif Seri Paduka Baginda yang gemar bersukan ketika muda, terutama bermain polo.
Pada 7 Februari lalu, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan Seri Paduka Baginda berangkat ke luar negara bagi menjalani rawatan.
- BERNAMA