SHAH ALAM, 19 FEB: Insentif dalam industri semikonduktor perlu diperluas kepada syarikat teknologi bagi menarik keterlibatan lebih ramai anak muda terlatih, saran pengerusi kelab penyokong Kerajaan Selangor.
Azmizam Zaman Huri turut menyarankan pentadbiran negeri untuk memperkukuh kerjasama dengan universiti dan institusi latihan kemahiran bagi memastikan Selangor kekal menjadi pilihan utama pelabur.
[caption id="attachment_630906" align="aligncenter" width="754"] ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berucap sempena Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 28 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]
“Peningkatan kecekapan pentadbiran serta hala tuju strategik bidang semikonduktor akan membuktikan negeri maju dari segi infrastruktur selain memastikan rakyat mendapat peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
“Dalam masa sama Kerajaan Negeri diharap terus memperkukuhkan dasar yang menyokong inovasi dan pertumbuhan industri berimpak tinggi agar Selangor kekal sebagai peneraju ekonomi Malaysia,” katanya.
Wakil rakyat Pelabuhan Klang itu berucap demikian ketika membahaskan titah titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Taman reka bentuk litar bersepadu (IC) dan pemacu semikonduktor Malaysia: Hab Selangor dibangunkan Kerajaan Negeri merupakan pusat sektor semikonduktor terbesar di Asia Tenggara.
Sejak dilancarkan pada Ogos tahu lalu, IC yang terletak di Puchong berjaya meraih pelaburan dan dana berjumlah RM2.6 bilion, sejajar hasrat negeri untuk mengembangkan hab reka bentuk cip global ke fasa kedua.
Beliau berkata Dasar Speed Selangor yang diperkenal tahun ini bagi memendekkan kelulusan merancang kawasan industri bakal menjadikan Selangor semakin berdaya saing.
“Langkah proaktif ini menjamin lebih banyak pelaburan berkualiti masuk ke negeri ini sekali gus mencipta lebih banyak peluang pekerjaa dan meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.
Pada pembentangan belanjawan tahun ini, Dato’ Menteri Besar memperkenalkan dasar berkenaan bagi memendekkan tempoh kelulusan kebenaran merancang kawasan industri dari 3.5 bulan kepada 14 hari.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, dasar sejajar dengan agenda Kerajaan Negeri untuk memudahcara perniagaan selain memberi tumpuan kepada industri baharu bertapak di Selangor.