SHAH ALAM, 19 FEB: Firma guaman antara entiti baharu dikenal pasti terlibat dalam isu penyelewengan tanah membabit kerugian lebih RM7 juta yang berlaku baru-baru ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihak berkenaan terlibat secara langsung memandangkan tugas mereka dalam melengkapkan segala urusan tanah.
“Ini bukan kerja satu orang, dia ada jaringan, jalinan dengan beberapa jabatan malahan insititusi yang ada di luar supaya dapat melengkapkan proses tersebut.
“Sebagaimana kenyaatan dibuat pihak berkuasa dan siasatan yang dimaklumkan, ia bukan hanya berlaku di pejabat tersebut (PDT). Ada urusan dengan pejabat peguam. Kali ini mereka yang terlibat dalam sistem sebab dia boleh ubah di waktu-waktu tertentu.
“Pejabat peguam ini yang terlibat dengan urusan tanah, sudah pasti mereka terlibat juga. Setakat ini ada pejabat peguam dan ada pegawai dari pejabat berkenaan (PDT) dan itu yang terakhir kita dapat kenal pasti,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Menjawab soalan tambahan, Amirudin berkata Kerajaan Negeri akan menyelesaikan perkara berkenaan memandangkan ia akan memberi risiko termasuk pampasan dan kerugian tinggi.
Beliau menjelaskan keadaan lebih parah sekiranya isu penyelewengan tanah melibatkan transaksi dan pihaknya mengambil langkah awal dengan meletakkan kaveat sebagai antara langkah awal penyelesaian.
“Sebab itu kaveat diletakkan lebih awal. Kalau pemaju ingin membangunkan (tanah) dan mereka sudah hantar kebenaran merancang, (tapi) baru kenal pasti masalah. Ini akan beri kesan lebih buruk dan pampasan dan nilaian ganti rugian lebih besar.
“Saya percaya ini satu rompakan yang jelas memberikan kesan kepada hasil negeri dan juga potensi kepada awam hasil kepada kepentingan peribadi. Keutamaan kita untuk selesaikan dahulu selain langkah kedua ialah mencari tanah ganti dengan persetujuan semua pihak,” katanya.
Beliau turut memaklumkan penyelewengan tanah berlaku disebabkan sistem secara manual yang membolehkan proses peralihan nama dibuat sebelum e-tanah diperkenal.
“Tahun lepas kita kenal pasti sekurang-kurangnya tiga kes. Menerusi e-tanah kita dapat kawal penggunaan-penggunaan serta siapa yang akan meluluskan sebagainya.
“Ada sebahagian yang terlibat itu ketika kita kesan sudah meninggal dunia dan ada yang dah pencen. Tapi apa yang kita boleh lakukan adalah buat laporan polis,” katanya.
Semalam Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj tidak mahu isu kartel serta penyelewengan lesen perniagaan berulang lagi.
Justeru Sultan Sharafuddin mahu pegawai kerajaan serta kakitangan awam terutama di PDT dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan tugas dengan tanggungjawab dan menjauhi amalan rasuah selain ketua jabatan perlu memastikan salah guna kuasa tidak berlaku di jabatan masing-masing.