ad
AGENSI

Jajaran Rel Selangor dilaksana berperingkat, ambil masa hingga 10 tahun

19 Feb 2025, 4:27 AM
Jajaran Rel Selangor dilaksana berperingkat, ambil masa hingga 10 tahun

SHAH ALAM, 19 FEB: Pembinaan Jajaran Rel Selangor dijangka mengambil masa sehingga 10 tahun yang akan dilaksana secara berperingkat melibatkan pelbagai fasa.

EXCO mobiliti berkata Kerajaan Negeri sudah mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Pengangkutan bagi mendapatkan maklum balas berhubung cadangan projek tersebut.

“Antara fasa berperingkat yang dicadangkan ialah reka bentuk awal dan paparan masa, permohonan skim kereta api bersyarat kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan badan berkaitan.

“Cadangan pembangunan Jajaran Rel Selangor dijangka dapat memberi kesan positif kepada Selangor, termasuk menerusi aspek limpahan ekonomi kepada negeri,” kata Ng Sze Han.

Beliau berkata demikian menjawab soalan wakil rakyat Bukit Gasing R. Rajiv berhubung perkembangan projek Jajaran Rel Selangor di persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Sze Han menambah Kajian Kebolehlaksanaan Jajaran Rel Selangor kini dalam fasa akhir pelaksanaan dan hasil kajian itu akan diserah kepada Kementerian Pengangkutan.

Menurutnya, kajian tersebut mengenalpasti jajaran sepanjang 200km dengan empat cadangan jajaran sokongan iaitu Pelabuhan Barat, Klang, Putra Heights, dan Universiti Selangor (Unisel) Bestari Jaya.

Jelasnya, kajian turut mempertimbang dua jenis perkhidmatan iaitu penumpang dan kargo yang akan mengurangkan tempoh masa utara dan selatan Selangor dengan kelajuan 160 kilometer sejam.

“Contohnya, pengguna dianggarkan mengambil masa 1 jam 42 minit dari Sabak Bernam ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan Rel Selangor berbanding 2 jam 41 minit jika memandu,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan Negeri 2024, Dato’ Menteri Besar mengumumkan pembangunan Jajaran Rel Selangor yang akan dimulakan menerusi kajian kebolehlaksanaan dengan peruntukan RM3 juta.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, jaringan kereta api itu akan bermula dari Klang ke Kuala Selangor, Tanjong Karang, dan Sabak Bernam, selain meneroka potensi jajaran sedia ada yang belum dibina iaitu dari Kuang ke Kuala Selangor.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.