SHAH ALAM, 18 FEB: Program Talaqqi Kitab Turath Islami siri ketujuh diteruskan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah esok, mulai 9 hingga 11 pagi.
Kuliah duha tersebut menampilkan tokoh ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang al-Fathoni, yang akan mengupas kitab Ihya Ulumuddin dan Mawaqif al-Marjan.
Hari ini, program untuk menyuburkan syiar Islam itu berlangsung dua sesi iaitu kuliah duha (9 hingga 11 pagi) dan kuliah isyak (9 hingga 11 malam). Sesi pada 19 dan 20 Februari pula melibatkan kuliah duha (9 hingga 11 pagi).
Program talaqqi kitab adalah kesinambungan Festival Turath Islami Selangor yang dianjurkan sejak Mei 2023.
Siri kupasan kitab itu dianjurkan bersama Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), Media Selangor Sdn Bhd, Akademi Pemikiran Turath, pejabat Dato’ Menteri Besar dan masjid negeri.
Program tersebut bertujuan memperkukuh pemahaman umat Islam mengenai keilmuan Imam al-Ghazali selain menjadi wadah mendalami khazanah warisan Islam yang sarat dengan hikmah dan pedoman kehidupan.