Oleh Ufairah Tarmidzi
PUTRAJAYA, 18 FEB: Al-Quran yang rosak atau usang tidak boleh dibuang sembarangan, sebaliknya perlu dilupuskan secara beretika bagi menjaga kesuciannya.
Menyedari keperluan ini, Nasyrul Quran menganjurkan Festival Cahaya Atas Cahaya selama tiga hari bermula Jumaat yang menyediakan perkhidmatan pelupusan mashaf lama.
Festival yang julung kali dibuka sehingga 9 malam itu memberi peluang kepada orang ramai untuk membeli al-Quran dengan potongan harga menarik sebagai persiapan menyambut Ramadan.
Festival itu juga memperkenalkan keindahan wahyu al-Quran melalui teknologi dan seni moden dengan menggabungkan elemen pencahayaan yang memberikan pengalaman baharu kepada pengunjung.
Pengunjung, Siti Nurshuhaila Roslei, 24, berkata festival itu menjadi platform terbaik kepada masyarakat mendapatkan khidmat pelupusan al-Quran lama dengan lebih mudah.
Pelajar universiti itu menambah program itu wajar diteruskan kerana masih ramai tidak tahu cara betul untuk melupuskan al-Quran yang sudah tidak boleh digunakan.
“Saya datang ke festival ini untuk melupuskan lima naskhah al-Quran yang dah berusia 20 tahun dengan keadaannya yang koyak termasuk beberapa helaian Yasin.
“Usaha yang dibuat ni bagus kerana pihak penganjur sudah menyediakan bahagian khas untuk pelupusan bagi mereka yang tidak tahu untuk melupuskannya di mana,” katanya kepada Media Selangor.
Pekerja swasta, Siti Zubaida Sulaiman, 44, pula mengambil peluang membawa anak-anaknya ke festival itu untuk melihat sendiri bagaimana al-Quran diproses dan memahami sejarahnya.
Katanya, festival itu turut mendedahkan teknologi percetakan moden yang digunakan dalam penghasilan al-Quran.
“Sebelum ini, kita ingat al-Quran ditulis satu per satu, rupanya ada mesin khas untuk pembuatan al-Quran dan saya juga tahu untuk infaq al-Quran di tempat yang sepatutnya,” jelasnya.