ad
AGENDA

Suspek kes tembak terlibat 15 jenayah, dipenjara dua kali

18 Feb 2025, 6:35 AM
Suspek kes tembak terlibat 15 jenayah, dipenjara dua kali
Suspek kes tembak terlibat 15 jenayah, dipenjara dua kali
Suspek kes tembak terlibat 15 jenayah, dipenjara dua kali

KLANG, 18 FEB: Suspek kes tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Shah Alam minggu lalu yang ditembak mati di Pulau Ketam pagi tadi, sempat melakukan lima jenayah sebelum melarikan diri ke pulau itu, dua hari lalu, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Beliau berkata selepas kejadian pada malam 8 Februari lalu, suspek yang dikenali sebagai 'Ah Boy' itu terlebih dahulu melarikan diri ke Melaka sebelum berpatah balik ke Selangor dengan cara mengugut pemandu e-hailing dan lori, selain turut mencuri motosikal.

"Selepas kejadian di pusat beli-belah itu dia lari dari Klang ke Melaka, dan berada di sana selama lima hari sebelum berpatah balik ke Banting, dan dua hari lepas dia dikesan di Sabak Bernam.

[caption id="attachment_647376" align="alignleft" width="407"] Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan. Foto BERNAMA[/caption]

"Di Sabak Bernam dia sempat melakukan jenayah pecah rumah, menunjukkan senjata api dan juga samun, sebelum melarikan diri ke Pulau Ketam, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kesalahan yang dilakukan adalah 15," katanya pada sidang media di Jeti Pulau Ketam di sini hari ini.

Hussein berkata suspek aktif melakukan jenayah sejak 2014 dan pernah dipenjarakan dua kali atas kesalahan samun, dengan kebanyakan kes dilakukan secara solo dan secara kumpulan kecil, selain dikenal pasti mempunyai senjata api sejak tahun lalu.

"Kami juga sedang menyiasat sama ada dia menjadikan Pulau Ketam sebagai transit sebelum melarikan diri ke luar negara, dan siasatan juga sedang dilakukan untuk mengesan di mana dia mendapatkan senjata," katanya.

Berkenaan kes tembakan di pusat beli belah di Setia Alam, Hussein berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa suspek merancang untuk melakukan jenayah samun.

[caption id="attachment_687648" align="aligncenter" width="1108"] Suspek kes tembak di pusat beli-belah di Setia Alam maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Pulau Ketam, Klang pada 18 Februari 2025. Foto Facebook BERNAMA[/caption]

Terdahulu Hussein dalam kenyataan mengesahkan suspek berusia lingkungan 30 tahun itu ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di dalam bilik sebuah hotel di Pulau Ketam pagi tadi.

Suspek yang mempunyai 10 rekod jenayah diburu polis selepas dia dikatakan bertindak menembak seorang pekerja pembersihan di pusat beli-belah di Setia Alam 8 Februari lalu.

Selepas melepaskan tembakan, suspek melarikan diri dengan menahan sebuah kenderaan dan memaksa pemandu kenderaan itu membawanya keluar dari kawasan terbabit.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.