ad
AGENDA

Sultan: Jangan jual tapak bazar Ramadan kepada pihak ketiga

18 Feb 2025, 5:57 AM
Sultan: Jangan jual tapak bazar Ramadan kepada pihak ketiga

SHAH ALAM, 18 FEB: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan supaya tapak bazar Ramadan dan bazar raya diberi kepada individu yang benar-benar mahu berniaga bagi mengelakkan kenaikan harga.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah jika tapak bazar dimanipulasi atau hak lesen perniagaan dijual kepada pihak tidak bertanggungjawab, ia menyebabkan harga makanan dan barangan mahal sekali gus membebankan pembeli.

“Beta mahu tapak bazar Ramadan ini diberi kepada mereka yang benar-benar mahu berniaga dan bukan dimanipulasi atau dijual hak pelesenannya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Penjualan hak pelesenan bazar kepada pihak ketiga ini akan menyebabkan harga barangan menjadi mahal dan rakyat akan merasa terbeban,” titah Baginda pada istiadat pembukaan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) penggal ke tiga, di sini hari ini.

Sempena kehadiran Ramadan ini, Sultan Sharafuddin meminta umat Islam menjalani ibadah puasa sebaik mungkin selain mengambil peluang menambah amal ibadat.

Tahun ini sebanyak 15,882 petak bazar Ramadan dibuka di 244 lokasi membabitkan 12 pihak berkuasa tempatan.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata penyediaan itu merupakan usaha membantu usahawan atau penjaja kecil berniaga dan mendapat keuntungan lebih berbanding hari biasa.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.