SHAH ALAM, 18 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan penghargaan kepada pentadbiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari atas rekod pencapaian prestasi kewangan tahun lalu berjumlah RM2.867 bilion, tertinggi dalam sejarah.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah rizab negeri melalui kumpulan wang disatukan juga turut mencatat peningkatan RM517 juta dari RM3,614.04 juta pada 2023 kepada RM4,131.38 juta.
“Kerajaan Beta menyasarkan pelaburan sebanyak RM50 bilion tetapi berjaya menarik sehingga RM66.75 bilion dengan menawarkan 50,222 peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat Beta dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan perusahaan utama.
“Prestasi ini telah menambahkan keyakinan dalam kalangan pelabur tempatan dan antarabangsa yang membolehkan pelaburan Kerajaan Beta melepasi sasaran keseluruhan tahun 2024,” titah Baginda ketika istiadat pembukaan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) penggal ke tiga di sini hari ini.
Dalam titah sama Sultan Sharafuddin mahu pentadbiran ini melaksanakan program rancangan pembangunan yang bermanfaat kepada rakyat dan tidak hanya mendatangkan keuntungan semata.
Sehubungan itu Baginda mengingatkan semua wakil rakyat menjalankan khidmat serta memikirkan program yang boleh membantu serta memberi kesejahteraan kepada rakyat.
“Beta ingin melihat Kerajaan Beta dan perkhidmatan awam Selangor melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, efisien dan berdaya saing.
“Beta harap Kerajaan Beta bawah Mamanda Dato' Menteri Besar tidak alpa dalam menghadapi musibah bencana yang berlaku di Selangor dan mengambil langkah proaktif dalam menangani isu bencana seperti banjir dan tanah runtuh,” titah Baginda.
[caption id="attachment_687595" align="aligncenter" width="1263"] Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mencemar duli berangkat ke Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 18 Februari 2025. Turut mengiringi Baginda DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]