KUALA LUMPUR, 17 FEB: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil tindakan segera susulan isu tular melibatkan lelaki Muslim berpakaian menyerupai wanita dalam sebuah program hiburan, semalam.
Ketua Pengarah Jakim Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menerusi hantaran Facebook menegaskan kejadian itu telah mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat dan menyentuh sensitiviti Islam serta budaya negara.
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan berharap agar perlakuan seumpama ini tidak berulang lagi pada masa akan datang,” katanya.
Sirajuddin berkata Jakim telah menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memanjangkan perkara itu, agar tindakan susulan dapat diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Jakim akan turut memanggil pihak berkaitan bagi mendapatkan penjelasan lanjut dan mengadakan sesi perbincangan secara tertutup untuk memberi nasihat serta bimbingan,” katanya.
Sehubungan itu, Jakim menyeru rakyat Malaysia agar sentiasa peka dan menghormati nilai serta sensitiviti agama di negara ini bagi memastikan perkara seumpamanya tidak berulang.
“Islam adalah agama rahmah dan menyantuni fitrah manusia yang menginginkan hiburan. Malah hiburan juga antara satu elemen yang membawa kepada kegembiraan, kesejahteraan dan memupuk nilai-nilai murni.
“Namun, perlu dibatasi dengan adab dalam berhibur agar tidak bercanggah dengan akidah, syariah dan akhlak Islam,” katanya.
- BERNAMA