SHAH ALAM, 17 FEB: EXCO belia mengecam tindakan sebuah stesen televisyen tempatan memaparkan aksi beberapa lelaki mengayakan pakaian wanita di karpet merah pada anugerah musik berprestij, semalam.
Menyifatkan perkara itu tidak sewajarnya berlaku, Mohd Najwan Halimi menasihatkan penyiar acara berkenaan untuk lebih bertanggungjawab dalam menyusun kandungannya.
“Saya nasihatkan TV3 Malaysia jangan menggalak golongan mutasyabbih (tidak jelas) ini. Apakah TV3 menerusi Anugerah Juara Lagi 39 (AJL39) cuba untuk menormalisasikan budaya LGBT dalam kalangan masyarakat?
“Tidak sewajarnya insiden sebegini berlaku dalam majlis anugerah seni yang secara tradisi sejak 40 tahun lalu dianjurkan untuk meraikan karya terbaik komposer dan penulis lirik tanah air,” katanya di Laman X hari ini.
AJL39 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil semalam menyaksikan lagu Hening Rindu nyanyian Marsha Milan muncul juara, Bukan Lagi Kita dendangan Nadeera Zaini (naib juara) dan Saksama nyanyian Akim & The Majistret (ketiga).